Sunday, November 7, 2010

Keutamaan Beramal di Sepuluh Hari Pertama Bulan Zulhijjah

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tidak ada satu amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah).” Para sahabat bertanya: “Tidak pula jihad di jalan Allah?” Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Tidak pula jihad di jalan Allah, kecuali orang yang berangkat jihad dengan jiwa dan hartanya namun tidak ada yang kembali satupun.

”[ HR. Abu Daud no. 2438, At Tirmidzi no. 757, Ibnu Majah no. 1727, dan Ahmad no. 1968, dari Ibnu ‘Abbas. Syaikh Al Albani menyatakan bahawa hadits ini sahih. Syaikh Syu’aib Al Arnauth menyatakan bahawa sanad hadits ini sahih sesuai syarat Bukhari-Muslim.]

Ibnu Rajab Al Hambali menyatakan, “Hadits ini menunjukkan bahawa amalan di sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah lebih dicintai oleh Allah daripada hari-hari lainnya dan di sini tidak ada pengecualian. Jika dikatakan bahawa amalan di hari-hari tersebut lebih dicintai oleh Allah, itu menunjukkan bahawa beramal di waktu itu adalah sangat utama di sisi-Nya.

”[ Latho-if Al Ma’arif, hal. 456.]

Bahkan jika seseorang melakukan amalan yang mafdhul (kurang utama) di hari-hari tersebut, maka boleh jadi ia lebih utama daripada seseorang melakukan amalan yang utama di selain sepuluh hari awal bulan Zulhijjah. Ini kerana Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam ketika ditanya, “Tidak pula jihad di jalan Allah?” Beliau pun menjawab, “Tidak pula jihad di jalan Allah.” Lalu beliau memberi pengecualian iaitu jihad dengan mengorbankan jiwa raga. Padahal jihad sudah kita ketahui bahawa ia adalah amalan yang mulia dan utama. Namun amalan yang dilakukan di awal bulan Zulhijjah tidak kalah walaupun dibandingkan dengan jihad, walaupun amalan tersebut adalah amalan mafdhul (yang kurang utama) berbanding jihad.[ Lihat Latho-if Al Ma’arif, hal. 457 dan 461]

Ibnu Rajab Al Hambali menyatakan, “Hal ini menunjukkan bahawa amalan mafdhul (yang kurang utama) jika dilakukan di waktu afdhal (utama) untuk beramal, maka itu akan menyaingi amalan afdhal (amalan utama) di waktu-waktu lainnya. Amalan yang dilakukan di waktu afdhal untuk beramal akan memiliki pahala berlebih kerana pahalanya yang akan dilipatgandakan.”[ Idem] Mujahid menyatakan, “Amalan di sepuluh hari pada awal bulan Zulhijjah akan dilipatgandakan.” [Latho-if Al Ma’arif, hal. 458.]

Sebahagian ulama menyatakan bahawa amalan pada setiap hari di awal Zulhijjah sama dengan amalan satu tahun. Bahkan ada yang menyatakan sama dengan 1000 hari, sedangkan hari Arafah sama dengan 10.000 hari. Keutamaan ini semua berlandaskan pada riwayat fadha’il yang lemah (dha’if). Namun hal ini tetap menunjukkan keutamaan beramal pada awal Zulhijjah berdasarkan hadits sahih seperti hadits Ibnu ‘Abbas yang disebutkan di atas.[Idem].


Saturday, November 6, 2010