Saturday, March 27, 2010

Peringatan dari Imam Syafei rahimahullah

Manusia semuanya mati
kecuali
orang yang berilmu

Orang yang berilmu
semuanya tidur
kecuali
orang yang beramal

Orang yang beramal
semuanya tertipu
kecuali
orang yang ikhlas.

Dan ...
orang yang ikhlas
sentiasa dalam kebimbangan.



Al Imam Asy-Syafei menegaskan: "Bukanlah yang dikatakan ilmu pengetahuan itu sesuatu yang dihafaz. Ilmu adalah sesuatu yang dimanfaatkan".

Pepatah melayu ada mengatakan: "Ilmu itu adalah penyuluh kehidupan".

Pisang lilin di Kota Mudik
Makanan anak si buaya
Biar miskin asal cerdik
Terlawan juga orang kaya.


Maksud pantun tersebut kecerdasan dan kebijaksaan itu lebih berharga daripada semata-mata kekayaan.

"Harga manusia itu ialah kepandaiannya," kata Ali bin Abu Talib.
"Janganlah kamu menuntut ilmu dengan tujuan bermegah-megah dengan para ulama', atau menunjukkan kelebihan pada orang bodoh atau mahukan pengaruh dari orang ramai. Barangsiapa yang melakukan demikian, dia di dalam neraka. (dikeluarkan oleh Ibnu Majah riwayat Huzaifah RA dengan isnad soheh).


WA
ummimq

Friday, January 22, 2010

Buasir dan bahaya darah dalam najis


Oleh Meran Abu Bakar

PENDARAHAN semasa membuang air besar sering berlaku kepada sesetengah orang dan masalah ini biasanya dikaitkan dengan penyakit buasir. Ramai yang berasa malu bagi mendapatkan rawatan doktor dan mengambil keputusan untuk merawat sendiri.

Buasir merupakan bengkakan yang terjadi di dalam dubur. Bengkakan ini tidak normal dan mereka yang mendapat buasir biasanya tidak berasa sakit apabila membuang air besar.

Boleh dikatakan setiap seorang daripada tiga orang pernah mengalami pendarahan akibat buasir dalam hidupnya. Pakar berpendapat buasir adalah implikasi kepada postur manusia yang berdiri kerana haiwan merangkak jarang mendapat buasir.

Demikian dijelaskan oleh Pakar Perunding Pembedahan Am, Hospital Damai Service (Melawati), Dr. Chaw Chee Kien pada forum awam mengenai Bahaya Darah Dalam Najis di hospital tersebut baru-baru ini.

Menurut Chee Kien, di dalam saluran dubur manusia terdapat struktur yang dikenali sebagai vaskular endocushions yang menyebabkan otot-otot dubur kenyal.

Biasanya struktur ini kecil dan tidak ketara. Walau bagaimanapun apabila seseorang itu mengalami sembelit atau meneran semasa membuang air besar, struktur ini membengkak.

“Selepas beberapa lama, ia hilang sifat kenyalnya dan terjulur keluar daripada dubur. Proses ini sering diiringi dengan pendarahan dan akhirnya menjadi buasir.

“Dengan kata lain, buasir adalah akibat langsung sembelit dan proses meneran,’’ katanya.

Beliau menambah, terdapat beberapa simptom buasir. Pesakit biasanya mendapati ada darah berwarna merah cerah yang keluar sebelum atau selepas meneran ketika membuang air besar.


Darah tersebut mungkin menitis, menyembur keluar atau hanya memberi kesan kepada tisu tandas yang digunakan.

“Jika perkara ini berlanjutan untuk beberapa lama, pesakit mungkin akan mengalami anemia akibat kehilangan banyak darah. Ada juga pesakit yang mengalami pendarahan yang membimbangkan sehingga menyebabkan mereka sering pitam.

“Ada juga pesakit yang tidak mengalami pendarahan. Buasir jenis ini hanya berbentuk gumpalan di dalam alur dubur. Gumpalan ini mungkin keluar semasa pesakit membuang air. Ia boleh masuk semula ke dalam alur dubur apabila ditekan tetapi ada juga yang kekal di luar dubur. Pesakit mungkin tidak berasa sakit tetapi ada masanya mereka berasa tidak selesa dan gatal-gatal,’’ katanya.

Beliau menjelaskan, buasir boleh dirawat apabila doktor sudah pasti yang pesakit benar-benar penghidap buasir dan bukan kanser anorektal atau penyakit lain.

“Doktor akan melakukan ujian rektal dan protoskopi terlebih dahulu. Adakalanya pesakit diminta menjalani ujian sigmoidoskopi atau kolonoskopi.

“Buasir Tahap 1 dengan pendarahan akan diberikan ubat vasotopik dan dinasihatkan agar mengubah diet. Diet tinggi serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin tinggi serat amat baik bagi kesihatan. Suppositories juga biasa diberikan selain ubat Daflon yang berkesan. Pendarahan biasa berhenti selepas dua atau tiga hari.

“Buasir Tahap 2 dengan pendarahan juga akan dirawat dengan kaedah sama. Bagaimanapun, oleh kerana pada tahap ini sudah ada jisim yang terlunjur keluar daripada dubur, prosedur yang dilakukan ialah rubber ligation, suntikan fenol dan photocoagulation.

Inovasi terbaru

“Buasir Tahap 3 dan 4 biasanya memerlukan rawatan pembedahan. Kaedah yang telah lama digunakan ialah haemorrhoidectomy sama ada secara terbuka atau tertutup.

“Kaedah ini didapati sangat berkesan namun pesakit akan menghadapi kesan yang menyakitkan selepas pembedahan. Proses penyembuhan juga lambat dan biasanya mengambil masa sehingga tiga hingga empat minggu sebelum pulih sepenuhnya,’’ ujar beliau lagi.

Chee Kien berkata, kini terdapat inovasi terbaru dalam rawatan buasir yang dikenali sebagai PPH, iaitu dengan mengikat dan memotong buasir menggunakan alat seperti stapler yang berbentuk bulatan.

Melalui kaedah ini, pesakit merasai sakit yang minimum atau tidak berasa sakit langsung serta tidak meninggalkan luka yang perlu dirawat. Pesakit boleh kembali melakukan tugas harian seminggu selepas rawatan.

Beliau menambah, selain buasir, sebab lain pendarahan semasa membuang air besar berlaku kemungkinan disebabkan ketumbuhan barah di dalam usus besar.

Barah usus besar adalah barah kedua kerap berlaku di kalangan kaum lelaki selepas barah paru-paru dan barah ketiga kerap berlaku di kalangan kaum wanita selepas barah payudara dan barah serviks di Malaysia.

Mengikut Pendaftaran Barah Nasional 2003, kekerapan barah pada keseluruhannya di Malaysia adalah 134.3/100,000 di kalangan kaum lelaki dan 154.2/100,000 di kalangan kaum wanita. Ini bermakna lebih daripada 40,000 kes barah baru akan dikesan setiap tahun di negara ini.


“Kekerapan barah usus besar kian meningkat selepas umur 50 tahun dan umur purata pesakit-pesakit barah usus adalah di antara 70 dan 75 tahun.

“Di negara Barat, risiko mendapat barah usus besar dalam jangka hayat adalah enam peratus. Ini bermakna seorang daripada 18 individu akan mendapat penyakit ini dalam jangka hayatnya.

“Kebanyakan kes barah usus terjadi secara semula jadi tetapi lebih kurang 15 peratus kes-kes barah usus besar ada unsur genetik. Risiko mendapat barah usus termasuk pemakanan yang kurang serat atau daging merah dan lemak yang berlebihan. Rokok dan alkohol yang berlebihan juga dikaitkan dengan penyakit ini.

“Satu lagi punca barah usus yang lebih jarang berlaku di negara ini adalah penyakit radang usus besar. Serat di dalam pemakanan boleh mengurangkan risiko barah usus kerana ia mengurangkan kerosakan usus besar oleh bahan toksik yang terdapat dalam najis.

“Unsur-unsur yang boleh mengurangkan risiko barah usus termasuk sayur-sayuran seperti brokoli, vitamin A, C dan E dan ubat aspirin yang ada aktiviti anti-oksida,’’ jelas Chee Kian.

Kata beliau, ramai orang mempunyai salah tanggapan bahawa barah selalunya menyebabkan kesakitan ataupun tidak boleh dirawati selepas dikesan. Barah usus yang dikesan pada peringkat awal berpotensi bagi dirawati dengan sepenuhnya.

Oleh sebab itu, ujarnya, ujian pengesanan barah usus besar perlu dimulakan dari umur 50 tahun. Kaedah ini telah dibuktikan berkesan dalam mengurangkan kadar kematian daripada penyakit barah usus besar.

“Pengesanan barah usus besar adalah penting dan ia dijalankan oleh doktor melalui pemeriksaan yang teliti berserta ujian darah dalam najis, endoskopi usus besar dan X-ray usus besar. Apabila barah usus sudah dikenal pasti, ia biasanya memerlukan rawatan pembedahan dan rawatan kemoterapi atau radioterapi.

“Terdapat banyak inovasi dalam perjuangan menentang penyakit barah, misalnya ubat yang boleh mengurangkan ketumbuhan saluran darah baru dalam barah dan mengehadkan ketumbuhan barah tersebut. Teknik-teknik baru dalam bidang pembedahan seperti pembedahan laparoskopik juga mengurangkan kesakitan kepada pesakit dan membolehkan penyembuhan yang lebih cepat,’’ ujar beliau.

Chee Kien menjelaskan, walaupun pendarahan dalam najis biasanya disebabkan oleh buasir, kemungkinan kewujudan barah usus besar yang boleh memberi gejala yang sama perlu dikecualikan. Lebih-lebih lagi kewujudan barah usus besar boleh menyebabkan ketumbuhan buasir.

Pesakit-pesakit yang ada ketumbuhan buasir digalakkan untuk berjumpa dengan doktor supaya mereka boleh diperiksa dengan sepenuhnya.

“Secara kesimpulannya, walaupun pendarahan dalam najis biasanya disebabkan oleh buasir, pesakit-pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada doktor supaya kemungkinan ketumbuhan barah usus boleh dikecualikan.

“Barah usus besar yang dikesan pada peringkat awal boleh dirawat dengan sepenuhnya. Kaedah-kaedah baru di dalam rawatan buasir dan barah usus besar membolehkan pesakit-pesakit dirawat dengan lebih selesa dan sembuh dengan lebih cepat,’’ ujar Chee Kien lagi.

Lagi penjelasan tentang Buasir


Thursday, December 31, 2009

Hadis fatrah kepada Sunnah dan Bid'ah

عن ابن عمرو : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن لكل عمل شرة و لكل شرة فترة فمن كان فترته إلى سنتي فقد اهتدى و من كانت إلى غير ذلك فقد هلك .

Daripada Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan ada waktu shirrah (kuat keinginan dan bertenaga), dan setiap waktu shirrah ada waktu fatrah (lemah). Maka, sesiapa fatrahnya amalannya (menjurus) di dalam sunnahku, maka dia berada di atas petunjuk, dan sesiapa fatrahnya (menjurus) selain (sunnah) itu, maka dia akan binasa.”
[Diriwayatkan Ahmad, Ibn Hibban dan juga at-Tabarani di dalam ‘al-Kabeer’ – disahihkan oleh al-Albani (lihat Sahih al-Jami’ no. 2152) dan Shu’aib al-Arna’ut (lihat Musnad Ahmad no. 6958)]


عَنْ مُجَاهِدٍ قَالَ: دَخَلْتُ أَنَا وَيَحْيَى بْنُ جَعْدَةَ عَلَى رَجُلٍ مِنَ الْأَنْصَارِ مِنْ أَصْحَابِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: ذَكَرُوا عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَوْلَاةً لِبَنِي عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَقَالَ: إِنَّهَا تَقُومُ اللَّيْلَ وَتَصُومُ النَّهَارَ، قَالَ: فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " لَكِنِّي أَنَا أَنَامُ وَأُصَلِّي، وَأَصُومُ وَأُفْطِرُ، فَمَنْ اقْتَدَى بِي فَهُوَ مِنِّي، وَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي، إِنَّ لِكُلِّ عَمَلٍ شِرَّةً ثُمَّ فَتْرَةً، فَمَنْ كَانَتْ فَتْرَتُهُ إِلَى بِدْعَةٍ فَقَدْ ضَلَّ، وَمَنْ كَانَتْ فَتْرَتُهُ إِلَى سُنَّةٍ فَقَدْ اهْتَدَى "


Daripada Mujahid, katanya: “Aku dan Yahya bin Ja’dah bertemu dengan seorang sahabat Rasul (sallallahu ‘alayhi wasallam) daripada golongan Ansar, katanya: “Mereka (para sahabat) menyebut tentang seorang hamba tebusan Bani Abd al-Muttalib sedang nabi bersama mereka: “Dia solat Qiyamullail (sepanjang malam) dan (sentiasa) berpuasa di waktu siang.” Rasulullah (sallallahu ‘alayhi wasallam) bersabda: “Tetapi aku tidur dan aku (solat Qiyamullail), aku berpuasa (sebahagian hari) dan berbuka (di sebahagian hari yang lain). Sesiapa mengikut petunjukku, dia daripadaku, dan sesiapa membenci sunnahku dia bukan daripadaku. Sesungguhnya setiap amalan ada waktu shirrah, kemudian (datang) fatrah. Maka sesiapa yang fatrahnya (menjurus) kepada bid’ah maka dia telah sesat, dan sesiapa fatrahnya (menjurus) kepada Sunnah, maka dia berada di atas petunjuk.”

[Riwayat Ahmad, dan disahihkan oleh Shu’aib al-Arna’ut]

Keterangan hadis:

Setiap manusia ada masa-masa dia rajin beramal dan berkeinginan tinggi, dan ada masa-masa yang dia rasa kurang bertenaga dan kurang keinginan untuk beramal. Maka, seorang muslim adalah satu antara tiga keadaan seperti berikut:

No Waktu Shirrah (rajin); Waktu Fatrah (lemah); Hasil
1 Ikut Sunnah; Ikut Sunnah; Mengikut jalan yang lurus
2 Ikut Sunnah; Ikut bid’ah; Menuju kebinasaan
3 Ikut bid’ah; Ikut bid’ah; Menuju kebinasaan (paling teruk)

Jalan yang lurus adalah waktu Shirrah dan waktu Fatrah mesti menurut Sunnah, dan ini boleh difahami daripada hadis di atas dan nas-nas lain, seperti hadis Aishah: “Sesiapa yang beramal dengan suatu amalan yang tidak kami perintahkan, maka ianya tertolak.” [Sahih Muslim]

Adalah disyorkan agar beramal dengan kadar sederhana, tidak melebih-lebih ketika waktu shirrah agar amalan itu dapat diteruskan walaupun dalam waktu fatrah. Ini dapat difahami daripada keluhan Abdullah bin Amr, sekiranya dahulu dia menerima keringanan yang sediakan syara’, beliau tidaklah merasa susah untuk meneruskan amalannya kemudian harinya apabila beliau sudah tua dan lemah! Keluhan beliau merujuk kepada amalan puasa yang beliau ingin melakukan yang maksima, dan nabi, akhirnya, menyebutkan puasa nabi Daud. Tetapi apabila beliau sudah tua dan lemah, beliau sudah sukar untuk meneruskan amalan itu.

Contoh:

Ketika sedang bertenaga, seseorang itu beramal dengan solat Qiyamullail setiap malam sepertiga malam terakhir. Kemudian, apabila dia kurang bertenaga, berkuranglah amalannya lalu makin pendek tempoh berdirinya, dan akhirnya dia hanya solat witir yang ringkas sebelum masuk waktu Fajr.

Malanglah bagi dia yang terus meninggalkan terus solat Qiyamullail dan melakukannya hanya dengan mengkhususkannya pada hari Jumaat sahaja, atau pada malam Nisfu Sha’ban, dan sebagainya yang tiada nas untuk mengkhususkannya bagi sesuatu hari dengan fadhilat yang khusus.
Malang juga sekiranya dia berlebih-lebih sehinggakan tidak tidur sepanjang malam untuk Qiyamullail, maka ini tidaklah menurut Sunnah nabi, dan akan mengakibatnya meninggalkan terus qiyamullail suatu hari kelak.

Begini juga amalan-amalan lain seperti puasa dan sebagainya, dinasihatkan mengambil jalan sederhana yang tidak membebankan apabila tiba waktu fatrah.

Allahu a’lam.

Abukhadeejah AFN